TARIAN SINGA
Tarian Singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua orang penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini diiringi oleh gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.
Sejarah
Singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, Malaysia dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai sorak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun, tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1 000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”.
Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa tersebut menggunakan warna merah, jingga (hijau dan kuning bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara ini mempunyai lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.
Tarian Singa Selatan menjadi lambang yang mempunyai siri-siri yang berkaitan dengan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat ataupun upacara untuk membuang semangat jahat dan dipersembahkan sebagai upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna. Kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya. Mata singa itu pula berwarna hitam bersama-sama warna putih atau merah bersama-sama warna putih. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan sifat singa yang garang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan