Pulau Dayang Bunting ialah pulau yang terbesar selepas Langkawi di Kedah. Ia terletak 17.6 km atau kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti Kuah, Langkawi. Jalan perhubungan hanya melalui bot laju yang boleh disewa di jeti pekan Kuah, pulau Langkawi dengan kadar pakej RM45.00 seorang.
Pulau ini mendapat nama daripada kisah gergasi sakti Dayang Bunting. Pulau ini seimbas lalu menyerupai gergasi hamil yang terlena. Dalam perjalanan ke Tasik Dayang Bunting, kita akan lihat bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala , dada dan perut yang sedang bunting.
Antara tempat yang menarik di sini ialah Tasik Dayang Bunting dan Gua Langsuir. Gua Langsuir terletak di tengah perjalanan ke Tasik Dayang Bunting. Gua ini adalah akibat kesan hakisan ombak laut jutaan tahun lampau. Terdapat bentuk-bentuk tergantung iaitu stalagtik yang mempunyai pelbagai bentuk - lalu dinamakan langsuir.
Di tengah pulau Dayang Bunting pula terdapat tasik air tawar yang mempunyai luas 3 padang bola sepak. Sebuah jeti telah dibina di tepian pulau Dayang Bunting untuk bot-bot pelancong singgah. Tangga-tangga dibina ke atas dan kemudian kemudian menurun ke bawah - jaraknya 1 km sahaja . Sebuah pelantar dibina di tepi tasik dan disediakan jaket keselamatan dan bot berdayung dengan kaki dengan sewaan RM15.00 . air tasiknya jernih dan menimbulkan panorama yang menggamit hati pelancong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan