Sabtu, 18 Jun 2011
Bangunan Bersejarah- Muzium Islam
Muzium Islam telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, pada 22 Mei 1992. Bangunan tersebut dahulunya merupakan James Brooke Malay College dan kemudian diambil-alih dan diubah-suai bersesuaian dengan tarafnya sebagai muzium.
Pada tahun 1930 bangunan ini dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak. Ianya digunakan khas untuk melatih lebih ramai guru dalam pendidikan Melayu peringkat tinggi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang Melayu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan masyarakat Melayu itu sendiri (Sarawak Gazette, 2 Mac, 1931). Sekolah-sekolah pada masa tersebut amat mahir dalam penggunaan bahasa Inggeris tetapi masih kekurangan guru Melayu yang berkelayakan.
Bangunan tersebut memiliki lantai yang ditinggikan dan ruangannya berbentuk segiempat dengan tiga ruang tambahan berserta dua laman dalaman. Reka bentuknya amat unik dan dikatakan satu-satunya yang ada di negeri ini. Hampir keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada konkrit dan kayu manakala atapnya adalah atap genting.
Objektif utama mendirikan muzium ini adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat di negeri ini dan juga para pelawat akan keunikan ketamadunan Islam dalam suasana masyarakat Sarawak. Dalam erti kata lain, dengan penubuhan muzium ini, adalah diharapkan rakyat akan lebih menghargai dan memahami sumbangan Islam terhadap ketamadunan manusia sejagat.
Muzium ini terbahagi kepada tujuh buah galeri. Setiap galeri mempamerkan bahan yang berkaitan dengan sesuatu disiplin seperti yang dinyatakan di bawah:
Galeri pertama: Sejarah Islam di Sarawak
Galeri kedua: Seni Rekabentuk Islam
Galeri ketiga: Sains, teknologi, ekonomi, pendidikan dan kesusasteraan.
Galeri keempat:Kostum muzik dan barangan peribadi
Galeri kelima: Persenjataan
Galeri keenam: Seni hiasan dan alat-alat domestik
Galeri ketujuh: Koleksi kitab Al-Quran
Masa Lawatan : Isnin hingga Ahad
9.00 a.m. hingga 4.30 p.m
Masuk adalah Percuma
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan