Isnin, 11 Julai 2011

Bangunan Sultan Abdul Samad (Selangor)

Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad ialah di antara bangunan lama yang terdapat di Kuala Lumpur dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian reka bentuknya. Bangunan ini dibina pada tahun 1893. Tetapi perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap dibina dan digunakan pada tahun 1897. Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada tahun 1896. Bangunan itu merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang gah pada masa itu.
Bangunan tersebut terletak pada satu tapak diantara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu ditengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Keluasan kawasan tersebut adalah 10,200 meter persegi. Di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan. Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak. Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General, Pejabat Besar Pos dan selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.
Pelan bangunan ini telah direkabentuk oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner. Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik seni binanya dan merupakan diantara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki yang berbentuk ladam dan di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Terdapat juga tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked.Bangunan ini juga mempunyai satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. 3 buah kubah yang menghiasi bangunan ini membuktikanya. Pada peringkat awal ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat warna hitam, namun ianya telah digantikan dengan kubah yang bersalut tembaga. Sebanyak RM 152,000 telah dilaburkan untuk membina bangunan ini dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.
Pada sekitar tahun 1978, pengubahsuaian bangunan telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada ketika itu kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah yang terdapat pada bangunan tersebut pada tahun 1982. Pengubahsuaian dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984
Pelan Bangunan
Pelan bangunan ini berbentuk ladam yang mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran/laman segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga. Kehadiran laman ini memberi pengudaraan kepada ruang legar di sebelah tampak dalam bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah anjung yang menghadap ke arah Padang Kelab Diraja Selangor. Apabila memasuki pintu utama bangunan ini, kita dapat melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung.
Ruang pejabat bangunan ini hampir 100 peratus dikelilingi serambi yang mana memberikan pengudaraan secara maksima, terutama pada zaman ianya dibina tidak mempunyai pendingin udara. Kerja membangunkan bangunan ini telah menggunakan 4 juta buta-bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 paun tembaga, 50 tan besi, keluli dan 30,000 kaki padu kayu. Bangunan ini siap pada tahun 1897 dan dirasmikan dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan Spooner yang menarik mengenai sejarah pembinaan bangunan tersebut. Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick. Bangunan ini pernah menempatkan beberapa buah Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya, bangunan ini telah menempatkan Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebahagian daripadanya menempatkan Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tampak Bangunan
Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.
Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi.
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Arca yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Arca ini diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. 

View ImageGo to fullsize image


Tiada ulasan:

Catat Ulasan